TERTUDUH, Muhammad Shah Rizman Jusoh,22, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi meminda pertuduhan ke memiliki dadah jenis heroin seberat 29.86 gram. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


PENGANGGUR menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung selepas pertuduhannya dipinda di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 29.86 gram.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan selepas tertuduh, Muhammad Shah Rizman Jusoh, 22, mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak timbalan pendakwa raya daripada kesalahan mengedar kepada memiliki dadah hari ini.

Keputusan itu dibuat Zainal Azman selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 29.86 gram di dalam rumah di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payung, Marang, 10.45 malam pada 9 Mei 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Sebelum ini, tertuduh menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh yang berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.17 gram turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Rohaiza Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Hanif & Co, Datuk Hanif Hashim.

Terdahulu, Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam memandangkan kes berkenaan adalah serius.

"Masalah berkaitan dadah sudah berlaku sekian lama di negara kita dan walaupun banyak akta dan pindaan yang dibuat, masih ada yang memilih laluan ini.

"Jika dadah ini berada di pasaran, berapa ramai masyarakat kita akan terjerumus dalam najis dadah dan saya harap kamu insaf serta tidak mengulangi kesalahan sama apabila keluar penjara kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:29 PM