Syed Umar Ariff dan Mohd Iskandar Ibrahim
cnews@nstp.com.my

Petaling Jaya: Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berikrar mempergiatkan kempen menarik lebih ramai pengundi keluar mengundi, 8 September ini.

Halimey berkata, peratusan keluar mengundi yang sedikit pada PRK Sungai Kandis, 4 Ogos lalu menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu dikaji bagi mengelak perkara sama berulang pada PRK Seri Setia.

“Kita sudah berbincang dengan kepemimpinan negeri dan pusat. Apa yang berlaku di Sungai Kandis tidak harus berulang dan kami belajar daripada pengalaman serta kelemahan yang berlaku.

“Kita akan mempertingkatkan lagi gerak kerja, malah setiap pemimpin tempatan di pusat daerah mengundi memastikan pengundi mereka keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian di Bilik Gerakan Utama PH PRK Seri Setia di sini, semalam.


HALIMEY (tengah) pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Adun Seri Setia, Kelana Jaya.

Mengulas lanjut, Halimey berkata, pihaknya juga merangka beberapa strategi meningkatkan lagi jumlah peratusan mengundi.

“Tidak perlu saya ceritakan, namun kita ada strategi yang akan digunakan. Apa yang paling penting ialah PH mahu pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada 8 September depan,” katanya.

Keputusan PRK Sungai Kandis menyaksikan penurunan mendadak peratusan keluar mengundi, kedua paling rendah selepas PRK DUN Penanti pada 2009 yang berlangsung setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

Jumlah peratusan keluar mengundi PRK Sungai Kandis hanya mencatatkan 49.4 peratus walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan 80 peratus keluar mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:34 AM