(Gambar fail) Sebuah kereta yang turut ditembusi besi penghadang jalan dalam kejadian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak April lalu.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my

PEMANDU Perodua Axia maut selepas besi penghadang jalan menembusi kereta dipandunya, dalam kemalangan di Kilometer 30.9 Lebuhraya PLUS arah selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, Mohd Hanafi Mohamed Shariff, 28, maut di tempat kejadian, manakala penumpang hadapan kereta, Muhammad Tauhid Idris, 31, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata kemalangan membabitkan Produa Axia yang dipandu lelaki itu bersama seorang penumpang yang terbabas melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri jalan menghala ke Johor Bahru.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta terbabit hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan menghala ke Johor Bahru.

“Akibat kemalangan itu menyebabkan besi penghadang yang dilanggar menembusi kereta mangsa dari depan ke belakang,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang beralamat di Negeri Sembilan dan mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di Kulai, namun pemandu Axia disahkan sudah meninggal dunia dan bedah siasat dibuat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 7:21 PM