GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


HANYA kerana cuba mempertahankan kasutnya daripada dicuri, perut lelaki hampir terburai ditikam di Kampung Tabuan Melayu, Kuching, semalam.

Akibat kejadian pada 6.55 petang itu, mangsa, 39, yang bekerja sebagai tukang kayu dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek yang mengesahkan kejadian itu berkata, insiden itu berlaku di tepi jalan di Kampung Tabuan Melayu.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila suspek berusia lingkungan 20-an cuba mengambil kasut mangsa.

“Berikutan itu berlaku pergelutan antara mereka apabila mangsa cuba mempertahankan kasutnya, namun suspek yang tidak dikenali itu tiba-tiba menikam mangsa di perut menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, Ah Lek berkata, polis memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai suspek bagi membantu siasatan.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana mana dua dari hukuman itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 5:35 PM