Jemaah dari Maktab 74 bersedia menaiki bas untuk bertolak ke Arafah pada pagi Ahad bagi menjalani ibadat wukuf di Arafah, Isnin.
Tuan Asri Tuan Hussein

“Semoga segala kemudahan itu tidak melalaikan kita,” kata Alias Yahaya, 63, seorang daripada 30,200 jemaah haji Malaysia yang bertolak ke Arafah pada pagi Ahad untuk menyempurnakan ibadat wukuf pada Isnin.

Peniaga dari Kuala Terengganu, Terengganu itu berkata, dia sedar banyak penambahbaikan dilakukan kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji (TH) di tiga lokasi ibadat Masyair iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Menurutnya, paling ketara ialah kemudahan pendingin hawa dalam khemah di Arafah selain lantai jubin seramik untuk khemah di Mina, kedua-duanya khusus untuk jemaah haji dari Malaysia saja.

"Syukur Alhamdulillah di atas semua kemudahan itu, tapi saya lebih suka mengambil sikap berhati-hati supaya jangan sampai kesenangan melalaikan kita daripada beribadah.

"Ada masanya kesenangan akan menyebabkan kita semakin jauh daripada sunnah Rasulullah SAW dalam mengerjakan haji. Seboleh-bolehnya saya tak nak ini berlaku pada diri saya," katanya.

Alias yang menghuni Maktab 74 Hotel Abraj Al-Janadriyah di Makkah, adalah antara kelompok paling awal bertolak ke Arafah, kira-kira 8 pagi tadi.

Wukuf adalah rukun terpenting dalam perjalanan ibadat haji, di mana setiap jemaah wajib berada di Arafah sekurang-kurangnya seketika pada waktu ditetapkan iaitu dari waktu Zohor 9 Zulhijjah (20 Ogos) sehingga Subuh keesokan hari.

Selesai ibadat di Arafah, jemaah dibawa ke Muzdalifah dengan bas pertama bergerak selepas waktu Maghrib pada 20 Ogos dan jemaah perlu berada di situ sehingga separuh malam iaitu 11.55 malam.

Dari Muzdalifah, jemaah dibawa pula ke khemah di Mina secara berperingkat-peringkat dan proses keseluruhan dijangka berakhir sebelum 7 atau 8 pagi pada 21 Ogos atau 10 Zulhijjah.

Seterusnya, jemaah perlu berada di Mina dari 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos) bagi menyempurnakan ibadat melontar di Jamrah Kubra, Sughra dan Wusta.

Waktu melontar yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi untuk jemaah Malaysia ialah dari selepas Asar sehingga Isyak.

Seorang lagi jemaah, Kelsum Jusoh, dari Besut Terengganu pula berkata, dia sudah bersedia untuk berdepan segala kemungkinan sepanjang berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Kita datang nak buat haji, jadi kita tahu ia bukan kerja mudah. Sama ada susah atau senang, saya reda saja. Mudah-mudahan Allah terima amal ibadat saya ini," katanya yang juga menginap di Maktab 74.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 2:54 PM