KAPAL mewah 'The Equanimity' tiba di Pelabuhan Klang, minggu lalu. FOTO Sairien Nafis
Wartawan NSTP

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan Amerika Syarikat (AS) tidak membantah walaupun menyedari hasrat Malaysia mahu mengambil kapal layar Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri berkata, sepanjang pengetahuannya, pihak berkuasa AS tidak menyatakan bangkangan terhadap hasrat Malaysia itu.

“Setakat yang kita tahu, mereka (AS) tidak membantah langkah kerajaan (Malaysia) mengambil alih kapal berkenaan. Kita memberitahu (mereka) sebelum ini,” katanya kepada portal tempatan yang menyertai lawatan kerjanya ke China, hari inisemalam.

Ketika ditanya mengenai tuduhan ahli perniagaan, Taek Jho Low, bahawa beliau berbohong mengenai pembabitan AS dalam proses pengambil alihan kapal layar berkenaan, Dr Mahathir enggan memberi kenyataan lanjut.

"Saya tak mahu komen mengenai Jho Low," katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menyifatkan Jho Low sebagai pengecut kerana enggan menyerah diri berdepan siasatan pihak berkuasa.

Guan Eng berkata, Jho Low tidak sepatutnya bersembunyi dan melarikan diri daripada siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa, sekiranya beliau tidak bersalah.

“Komen pengecut. Kalau tak bersalah, berdepanlah. Tak payah lari dan sembunyi. Dulu dia (Jho Low) berani, sebab ada orang besar di belakang, tapi bila orang besar dah tak ada, dia lari.

“Kena berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya ketika ditemui media di luar pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, hari ini.

Guan Eng mengulas kenyataan Jho Low yang mendakwa enggan menyerah diri kerana dibimbangi tidak akan diadili secara adil.

Semalam, ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa beberapa negara untuk siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menegaskan tidak mahu menyerah diri kerana mendakwa kesalahan terhadapnya sudah ditentukan lebih awal oleh pihak tertentu dan kepentingan diri mengatasi proses undang-undang.

Berita berkaitan:

‘Bukti PM, Peguam Negara bohong’ dakwa Jho Low

DoJ nafi terbabit pemindahan hak Equanimity

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 10:27 PM