GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


KEMUDAHAN infrastruktur yang tidak lengkap di jeti atau pelantar pendaratan ikan bukan punca utama masalah kenaikan harga ikan di pasaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Raja Kahalid Raja Ariffin berkata, kenaikan harga ikan disebabkan faktor angin dan musim seperti tengkujuh.

Menurutnya, masalah harga ikan yang mahal bukan saja berlaku di Terengganu malah turut dihadapi di tempat lain.

“Isu ikan mahal dan infrastruktur tidak ada kaitan sangat sebaliknya tangkapan ikan ini bermusim terutama di pantai timur.

“Apabila musim tangkapan banyak harganya murah namun apabila tiba musim tangkapan berkurangan harga meningkat dan itu yang menjadi isu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Jalinan Kasih LKIM dan Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) KD Sri Manjung bersama komuniti nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Manjung Selatan di Jeti Kampung Nelayan Batu 1 di Lumut, hari ini.

Beliau diminta mengulas isu harga ikan mahal di Terengganu berikutan kesukaran bot berlabuh kerana masalah muara cetek dan kemudahan infrastruktur tidak lengkap di jeti menyebabkan nelayan lebih selesa mendaratkan hasil laut di Kuantan dan Tok Bali.

Dalam pada itu Raja Kahalid berkata, pada masa sama, kerjasama dengan TLDM turut memainkan peranan penting supaya tidak berlaku pencerobohan di perairan negara yang turut mempunyai kaitan dengan kekurangan sumber hasil laut.

“Zon A adalah kawasan pembiakan sumber (perikanan) dan (jika berlaku) pencerobohan ini menjadi punca kerosakan sumber dan menyebabkan sumber berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan prasarana untuk pendaratan ikan, pihaknya juga sentiasa memberi tumpuan perkara berkenaan bagi menjamin kebajikan nelayan.

Katanya, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan juga, inisiatif melalui ikan sejuk beku Q’Fish yang dilaksanakan dapat memberi alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ikan.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Raja Kahalid berkata, pihaknya akan meneruskan program itu secara berterusan selain meningkatkan kerjasama dengan TLDM terutama membabitkan isu keselamatan nelayan di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 9:39 PM