GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


LELAKI maut selepas motosikal ditungganginya melanggar pejalan kaki di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa, 26, mengalami pendarahan otak dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, 4.55 pagi tadi.

Sementara itu, pejalan kaki, 35, putus kaki kiri dan patah kedua-dua tangan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, pihaknya menerima maklumat itu susulan penularan video kejadian di media sosial sejak semalam.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika aktiviti pelumbaan haram di Jalan Salor Baru menghala ke Pasir Mas.

"Mangsa yang maut menunggang Yamaha 125Z dikatakan sedang menguji kelajuan dengan sebuah lagi motosikal.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, dia melanggar penonton perlumbaan itu yang sedang melintas ke kiri jalan.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke HUSM oleh orang awam untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di HUSM akibat pendarahan otak pagi tadi.

"Pejalan kaki mengalami putus kaki kiri dan patah kedua-dua tangan.

"Polis sedang mengesan saksi bebas di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 7:08 PM