CALON PAS bagi Pilihanraya Kecil (PRK) N.32 DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali (tengah) bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Mohd Iskandar Ibrahim dan Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


UMNO akan menurunkan jenteranya bagi membantu PAS sepanjang tempoh 21 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO juga akan menyenaraikan penceramah berkaliber untuk membantu parti berkenaan.

“Sejak pengumuman calon PAS tempoh hari, kepemimpinan UMNO bahagian hadir memberi sokongan.

“Kita akan berbincang dengan PAS mengenai keperluan yang akan diperlukan kerana mereka akan memimpin untuk kempen.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan menyediakan penceramah yang diperlukan. Malah, tiga pergerakan UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan menggerakkan jentera mereka pada PRK kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, hari.

Selain Ismail Sabri, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad turut berada bersama pemimpin PAS di pusat penamaan calon.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkata, UMNO akan terus berusaha membantu memenangkan calon PAS pada PRK Seri Setia.

“Hari ini saya menganggap kerjasama UMNO-PAS untuk PRK ini secara rasmi walaupun tiada perjanjian di atas kertas dan kehadiran UMNO jelas menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti semakin baik.

“Berbanding PRK Sungai Kandis, hubungan dalam PRK kali ini dilihat lebih baik dan kita akan memastikan PAS menang dalam pertandingan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 11:13 AM