BOMBA giat memadam kebakaran rumah kongsi berhampiran Plaza Tol Kundang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


RUMAH kongsi berkeluasan 216 meter persegi berhampiran Plaza Tol Kundang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), menghala Kuala Selangor, dekat Rawang, hangus 100 peratus dalam kebakaran tengah malam tadi.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian 12.30 tengah malam itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bomba Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan 12.40 tengah malam.

"Seramai 10 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dikerahkan ke lokasi selain turut mendapat bantuan lori tangki dari BBP Sungai Buloh.

"Kebakaran membabitkan rumah kongsi dan kabin yang dihuni pekerja asing yang bekerja di dua kilang berhampiran lokasi kejadian. Rumah kongsi berkeluasan 216 meter persegi musnah 100 peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketika pasukan bomba tiba di lokasi, api sedang marak sebelum pihaknya berjaya mengawal dan berjaya memadamkan api sepenuhnya.

"Pihak kami melakukan pemantauan dan mendapati semua penghuni di rumah kongsi berkenaan sempat menyelamatkan diri dan tiada yang mengalami kecederaan.

"Kebakaran dipercayai bermula di satu daripada rumah kongsi sebelum ia merebak termasuk ke kabin. Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 9:06 AM