MAKLUMAT atau tips apabila berdepan cuaca panas. FOTO Ihsan Kementerian Kesihatan Malaysia
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


ORANG ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan tanda awal serangan strok haba berikutan cuaca panas dan kering yang tidak menentu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk suhu badan individu melebihi 40.5 darjah selsius berbanding suhu biasa badan manusia kira-kira 37 darjah selsius.

Katanya, suhu yang tinggi itu juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang koma seterusnya mengakibatkan kematian.

“Petanda lain membabitkan serangan itu ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

“Selain itu, individu terbabit akan merasai otot lemah serta kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, seramai 61 pelatih Pusat Latihan Polis ( PULAPOL) Bukit Sentosa Kuala Kubu Bharu, dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan.

Daripada jumlah itu, seramai 16 mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Cuaca panas sangat'

61 pelatih PULAPOL diserang strok haba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 3:50 PM