TIMBALAN Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Kastam, Datuk Zulkifli Yahya (dua kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.
Skuad Khas Harian Metro
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan melihat keperluan untuk memperkasakan lagi Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Negara (NRRET) selaras objektif penubuhannya iaitu untuk mendapatkan semula hasil negara yang hilang melalui aktiviti haram.

Langkah memperkasakan NRRET itu sekali gus dijangka mampu mengawal ketirisan dan penyeludupan yang jelas merugikan negara termasuk membabitkan rokok.

Dianggarkan kartel rokok seludup mengaut keuntungan sebanyak RM5 bilion setahun, manakala kerugian nilai cukai ditanggung kerajaan pula RM2 bilion setahun.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengulas cadangan beberapa pihak kepada kerajaan iaitu menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani kehilangan sumber kerajaan akibat penyeludupan termasuk rokok.

“Diakui rokok antara yang menyumbang kepada ketirisan hasil kerana ia adalah komoditi yang menarik duti/cukai pada kadar yang tinggi. Maka, cadangan penubuhan sebuah pasukan khas ini adalah amat baik.

“Untuk makluman, sebuah pasukan khas iaitu NRRET sudah sedia wujud di bawah pentadbiran Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya dalam satu jawapan bertulis kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut beliau berkata, pasukan NRRET dianggotai bukan saja dalam kalangan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sebaliknya pegawai beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjadi tunjang pasukan itu.

“Walau bagaimanapun, pasukan ini perlu diperkasakan lagi bagi memenuhi objektif penubuhannya iaitu untuk mendapatkan semula hasil negara yang hilang melalui aktiviti haram,” katanya.


LAPORAN Harian Metro 26 Julai lalu.

Laporan khas Harian Metro 26 Julai lalu memetik kegiatan penyeludupan rokok kini menguasai 60 peratus pasaran tempatan didalangi sindiket terancang yang dikesan mengaut keuntungan RM5 bilion setiap tahun.

Kumpulan kartel ala mafia itu sanggup melabur jutaan ringgit untuk merasuah sesiapa saja termasuk pihak berkuasa sama ada di sempadan atau yang berada di bilik berhawa dingin di pejabat.

Skuad Khas Harian Metro yang menyiasat mengenai kegiatan penyeludupan rokok selepas mendapat maklumat awam mendapati berlakunya unsur kawtim antara pihak berkuasa dan sindiket hingga menyebabkan kegiatan haram itu terus lama berlanjutan.

Susulan itu, akhbar ini menyiarkan secara bersiri pendedahan berhubung kegiatan ‘underground’ sindiket terancang itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 bilion setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:22 AM