ANAK burung Nuri berasal dari Amerika Selatan yang cuba diseludup ke Thailand oleh pasangan kekasih.
HM Digital

Kuala Lumpur: Lakonan selamba pasangan kekasih yang cuba menyeludup keluar kotak misteri mengandungi haiwan liar dilindungi gagal apabila mereka diberkas pihak berkuasa sempadan.

Dalam kejadian jam 5.20 petang semalam, pasangan itu yang menaiki sebuah kereta ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perlis dibantu pihak Kastam Diraja Malaysia bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Padang Besar, Perlis.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek didapati memandu kereta model Nissan dalam keadaan mencurigakan menuju ke selatan Thailand.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kereta itu menemui kotak diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan.

“Pemeriksaan kemudian menemui 10 ekor anak burung nuri spesies Sun Conure disembunyikan di dalam kotak itu. Suspek tidak mempunyai sebarang surat kebenaran memiliki burung itu daripada Jabatan PERHILITAN.

“Suspek lelaki ditahan berusia 37 tahun dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan manakala teman wanitanya berasal dari Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Kadir berkata, burung dirampas itu berasal dari Amerika Selatan dan dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) Jadual Pertama tanpa lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:14 AM