KEADAAN rumah yang terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah Agama, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Ibrahim Isa
ibrahim@nstp.com.my


LIMA rumah separa kekal di Jalan Sekolah Agama, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Seramai 11 penghuni rumah terbabit sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Yaakob Mariman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8 malam dan dua jentera membabitkan 18 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila tiba, kami dapati api marak di deretan empat rumah dan sebuah rumah bertentangan, kami berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.

“Kebakaran memusnahkan lima rumah separa kekal dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 10.04 malam.

“Kebakaran itu menyebabkan 11 penghuni kehilangan tempat tinggal dan kami turut menerima bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam serta van bomba,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa dipindahkan ke Dewan Muafakat di kawasan berhampiran buat sementara waktu.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 12:00 AM