Dr Wan Azizah mengumumkan Halimey sebagai calon PH untuk PRK Seri Setia. FOTO Asyraf Hamzah
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Halimey Abu Bakar, 46, sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada majlis pengumuman calon PRK N32 DUN Seri Setia di Desa Mentari di Petaling Jaya, jam 10.43 malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Halimey yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkhidmat dengan parti sejak 1998 termasuk aktif dengan kepimpinan di Selangor.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Allahyarham Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September, dengan hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang semalam mengumumkan Dr Halimah Ali sebagai calon parti itu.

DUN Seri Setia menjadi kubu kuat PKR sejak 2008 apabila dimenangi Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili PKR pada PRU-12 mengalahkan calon BN, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin.

Nik Nazmi yang kini Ahli Parlimen Setiawangsa selepas memenangi kerusi itu pada PRU-14 lalu berjaya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia pada PRU-13 dengan menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Halim Samad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:46 PM