TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


DUA rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas tuduhan menculik seorang penjual cincin, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Azwa Mohd Rosli, 26, dan Muhamad Maliki Kamaludin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama melarikan mangsa berusia 18 tahun dengan tujuan supaya dia membayar RM6,000 untuk dilepaskan, di sebuah kedai makan di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, pada 8.20 pagi, 16 Julai 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Norazlinawati tidak menawarkan jaminan.

Tertuduh tidak mengemukakan sebarang rayuan untuk jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, keadaan mahkamah kecoh seketika selepas ahli keluarga tertuduh bertindak memarahi petugas media yang merakam gambar tertuduh ketika dibawa keluar mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 2:34 PM