Junita Mat Rasid
junita@nstp.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menyerbu dua premis pemborong gas petroleum cecair (LPG) dan merampas 6,100 tong LPG bernilai RM53,590 , di Taman Tan Sri Yaacob, Johor Bahru, semalam.

Pengarahnya, Khairul Anwar Bachok berkata, serbuan 12.15 tengah hari itu dijalankan pasukan 13 anggota penguat kuasa selepas risikan selama tiga hari.

“Dalam serbuan ke atas premis pertama, pasukan operasi merampas 150 tong LPG 14 kilogram (kg) dengan keseluruhannya seberat 4,000 kg iaitu melebihi had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan iaitu 15,000 kg.

“Dalam serbuan kedua pula, kita merampas 80 tong gas LPG 50 kg keseluruhannya seberat 4,000 kg melebihi had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan iaitu 9,000 kg,” katanya pada sidang media di stor eksibit KPDNHEP Johor di Senai, Johor Bahru, hari ini.

Khairul Anwar berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu peruncit memiliki barang kawalan melebihi had yang dibenarkan dalam lesen dan Peraturan 12A PPKB 1974 kerana gagal mematuhi arahan pengawal.


PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor, Khairul Anwar Bachok (dua dari kiri) bersama agggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menunjukkan tong gas yang berjaya dirampas di stor eksibit KPDNHEP Johor di Senai. FOTO Zain Ahmed

Katanya, bagi kesalahan itu, individu boleh dikenakan denda tidak kurang RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, manakala bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, bagi kesalahan membabitkan pertubuhan atau syarikat, denda tidak kurang RM2 juta dan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.

“Kita memandang serius kesalahan yang dilakukan ini kerana membabitkan barangan berjadual dan pihak penguat kuasa akan menjalankan operasi berterusan bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Operasi terbaru ini adalah yang ketiga dijalankan dalam tempoh bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 12:04 PM