Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


LEBIH 80 suri rumah ‘menyerbu’ pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Perak di Ipoh, hari ini bagi mendaftar Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

Namun setakat jam 1 tengah hari, hanya empat individu yang layak mendaftar dan menepati syarat kelayakan, manakala selebihnya tidak layak susulan tidak berdaftar dengan Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

Ketua Perkhidmatan KWSP negeri, Mahmud Shauqi Ahmad berkata, ramai suri rumah, balu dan ibu tunggal hadir sejak jam 8.30 pagi hari ini bagi mendaftar skim berkenaan, namun tidak layak kerana tidak menepati syarat selepas semakan dibuat.

Menurutnya, tiga syarat utama ditetapkan kerajaan iaitu berusia 60 tahun ke bawah, warga Malaysia dan berdaftar dengan eKasih.

“Selepas semakan dilakukan ramai yang tidak layak kerana tidak berdaftar dengan eKasih iaitu golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah sebulan.

“Mereka yang tidak layak diminta membuat semakan dan pendaftaran eKasih dengan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat,” katanya ketika ditemui.

Mahmud Shauqi berkata, ramai yang tidak tahu skim i-Suri ini membabitkan tiga fasa iaitu fasa pertama pendaftaran golongan suri rumah sasar yang didaftarkan di eKasih yang bermula hari ini.

Beliau berkata, fasa kedua pula caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dijangka bermula tahun depan manakala fasa ketiga membabitkan dua peratus caruman KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri yang terbuka kepada semua golongan suri rumah yang dijangka bermula 2020.

“Fasa pertama hanya babitkan suri rumah atau Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bukang berdaftar dengan eKasih sahaja.

“Saya jangka kehadiran suri rumah untuk berdaftar i-Suri ini akan berkurangan selepas orang ramai menyedari ia hanya membabitkan golongan tertentu sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Low Mei Kok, 49, yang layak mendaftar i-Suri berkata, dia berterima kasih dengan kerajaan kerana mengambil berat tentang golongan wanita terutama suri rumah yang tidak berkemampuan.

“Suami saya, Tong Yew Choo, 58, sudah tidak mampu bekerja kerana masalah tulang belakang dan dengan adanya skim ini sekurang-kurangnya saya akan ada tabungan untuk masa depan jika berlaku sesuatu terhadap suami,” katanya.

Seorang lagi suri rumah, Nurul Syuhaida Ismail, 28, berkata dia akan mendaftar dengan eKasih untuk menyertai skim i-Suri kerana suami hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Jika sesuatu berlaku terhadap suami, hidup saya pasti sukar kerana perlu membesarkan anak sendirian dengan tiada punca pendapatan.

"Sekurang-kurangnya dengan adanya i-Suri, ia akan membantu meringankan beban suri rumah bila berdepan keadaan sedemikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 6:02 PM
MAHMUD Shauqi (tengah) memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pendaftaran i-Suri di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Perak, Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof