PETUGAS TH melakukan solat hajat di Arafah.
PETUGAS TH diketuai Syed Saleh mengadakan majlis bacaan Yasin di Arafah bagi mendoakan operasi Masyair berjalan lancar.
Tuan Asri Tuan Hussein

MAKKAH: Pergerakan jemaah haji untuk ibadat Masyair tahun ini diawalkan berbanding tahun sebelumnya, dan petugas Tabung Haji (TH) juga bakal bergerak lebih awal ke Arafah bagi membuat persiapan.

Jika sebelum ini petugas bergerak ke Arafah sehari sebelum hari wukuf yang sudah ditetapkan pada Isnin ini, untuk musim haji 1439 Hijrah ini, namun seramai 150 petugas TH akan pergi ke situ dua hari lebih awal.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, keputusan mempercepatkan pergerakan jemaah haji itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Pergerakan Masyair TH pada pagi Selasa.

Menurutnya, bas pertama yang membawa jemaah haji Malaysia dari setiap maktab atau bangunan penginapan akan bergerak pada jam 7 pagi Ahad ini dan bukan jam 11 pagi atau selepas solat Zuhur seperti tahun sebelum ini.

“Disebabkan jemaah bergerak pada jam 7 pagi 8 Zulhijjah (19 Ogos) kami memutuskan 150 petugas perlu berada di Arafah pada sebelah malam 7 Zulhijjah (18 Ogos). Bermakna, petugas akan tidur di Arafah selama dua malam.

“Mereka perlu pergi lebih awal untuk memastikan semua kemudahan terutama bekalan elektrik dan air siap sedia untuk digunakan jemaah haji,” katanya ketika ditemui selepas melawat khemah jemaah haji Malaysia di Arafah, semalam.

Terdahulu, beliau menyertai lebih 100 petugas TH menunaikan solat hajat dan membaca Yasin di dalam khemah yang dijadikan surau bagi memohon operasi Masyair berbaki empat hari saja lagi berjalan lancar.

Menurutnya, pemeriksaan pihaknya mendapati persiapan kini berada pada tahap hampir 90 peratus dan beliau yakin segala-galanya bakal disiapkan mengikut jadual.

Katanya, setiap maktab yang dihuni kira-kira 3,000 jemaah diperuntukkan 22 bas untuk urusan pergerakan ke Arafah dan proses dijangka selesai selepas solat Isyak atau selewat-lewatnya tengah malam.

Selepas ibadat di Arafah selesai, jemaah akan dibawa ke Muzdalifah dengan bas pertama dijadual bergerak selepas solat Maghrib Isnin depan dan jemaah perlu berada di situ sehingga separuh malam iaitu jam 11.55 malam.

Dari Muzdalifah, jemaah akan dibawa pula ke khemah di Mina secara berperingkat-peringkat dan proses keseluruhan dijangka berakhir sebelum jam 7 atau 8 pagi pada Selasa depan (21 Ogos atau 10 Zulhijjah).

Jemaah perlu berada di Mina dari 10 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadat melontar di Jamrah Kubra, Sughra dan Wusta.

“Hampir tiga juta orang akan bergerak pada waktu yang sama (dari Mekah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina). Ia sesuatu yang amat mencabar dan jemaah kena faham situasi ini. Patuhi arahan petugas ketika pergerakan dari satu tempat ke satu tempat,” katanya.

Selain itu, katanya, cabaran getir juga akan dirasakan jemaah ketika empat hari berada dalam khemah di Mina.

“Untuk satu maktab yang ada 3,000 orang, terdapat 20 buah tandas disediakan. Ini sudah tentu memberi suasana tidak selesa dan saya nasihatkan jemaah supaya pandai mengurus diri masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 3:36 PM