Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


BIMBANG dipenjarakan kononnya terbabit dalam pengubahan wang haram, seorang penyelia kasino di Genting Highlands kerugian lebih RM70,000 apabila diperdaya sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan bank.

Dalam kejadian Sabtu lalu, wanita, 35, menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku daripada sebuah bank sambil mendakwa mangsa ada membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan ada membuat pinjaman peribadi sebelum talian kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk bercakap dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Lee.

“Suspek kedua mendakwa kemungkinan butir-butir diri mangsa disalahgunakan dan hasil semakan kononnya mangsa juga terbabit dengan pengubahan wang haram dan akan dipenjarakan.

“Panggilan berkenaan kemudian disambung kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Ho. Mangsa meminta Inspektor Ho membuat siasatan ke atas kes yang dikenakan terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, Inspektor Ho memaklumkan kepada suspek bahawa akaun bank mangsa akan dibekukan dan memintanya memindahkan kesemua wang yang ada ke dalam akaun yang akan diberikan.

“Mangsa yang mempercayai dakwaan berkenaan kemudian membuat sebanyak lima kali pindahan wang ke dalam empat akaun yang diberikan oleh suspek bermula Sabtu lalu hingga semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM71,600.

“Selepas memindahkan semua wang berkenaan, mangsa menyedari ditipu sebelum datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam untuk membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, modus operandi sindiket itu dengan menyamar sebagai pegawai kanan polis dan kakitangan bank serta mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram sehingga mengalami kerugian sebanyak RM71,600.

“Polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 1:43 PM