MAZLAN (tengah) melawat mangsa kemalangan membabitkan bas Harapan Johor dan lori 16 tan di HPSF, Muar, hari ini. FOTO Adi Safri.
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my


“REMPUHAN itu menyebabkan kaki saya tersepit, tetapi saya mengerahkan segala kudrat untuk keluar dari bas yang remuk sebelum dibantu orang ramai,” kata mangsa kemalangan bas henti-henti dan lori di Kampung Temiang, Jalan Salleh, Muar, pagi hari ini, Ahmad Faiz Ab Hamid, 60.

Ahmad Faiz yang juga penduduk Kampung Lenga, Pagoh, berkata dia tersepit akibat tempat duduk pemandu bas yang menghimpitnya hingga menyebabkannya sukar untuk bernafas.

Beliau yang dalam perjalanan dari Pagoh ke Muar berkata, beliau sempat melihat bas dinaikinya secara tiba-tiba merempuh lori menyebabkan dentuman kuat.

“Pada mulanya saya melihat ke arah luar tingkap, tetapi apabila sampai di lokasi kejadian, saya toleh ke hadapan sebelum tiba-tiba bas melanggar lori sehingga saya tersepit apabila tempat duduk remuk.

“Selepas berjaya keluar dari bas, saya dibantu beberapa orang awam dan penduduk yang kemudian membawa saya ke hospital dan disahkan patah kaki kiri,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar, hari ini.

Sementara itu, Sia Hai, 65, berkata dia dalam perjalanan untuk ke HPSF bagi pemeriksaan kesihatan susulan menjalani pembedahan usus, baru-baru ini.

“Saya memang nak ke HPSF untuk buat rawatan tetapi ketika bas melalui kawasan Kampung Temiang, tiba-tiba sahaja berlanggar dengan lori.

“Kemalangan itu menyebabkan saya patah kaki dan beberapa luka kecil lain,” katanya yang masih dalam keadaan lemah.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang meluangkan masa menziarahi mangsa yang terbabit dalam nahas itu.

Mazlan berkata, kerajaan negeri sedia membantu semua mangsa kemalangan termasuk menjaga kebajikan kepada keluarga mangsa khususnya waris pemandu bas yang maut itu.

“Kerajaan negeri dan saya selaku EXCO berasa sangat dukacita dengan kejadian tidak diduga ini dan kami mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa terutama keluarga pemandu bas yang maut yang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

“Kerajaan negeri dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor turut menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban dihadapi oleh mangsa dan keluarganya.

“Selain itu, Yayasan Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan memberi sumbangan kelak. Kami akan lihat usaha untuk menjaga kebajikan mangsa terutama keluarga si mati dalam hal berkaitan persekolahan dan kita akan bertanggungjawab untuk memberi bantuan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas menziarah mangsa terbabit.

Hadir sama, Pegawai Daerah Muar, Abdul Haffiz Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, Ramli Abdul Rahman; Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Idris Rajab dan Yang Dipertua MPM, Mustaffa Kamal Shamsudin.

Dalam kemalangan 8.45 pagi itu, bas Harapan Johor yang membawa 12 penumpang dalam perjalanan dari Pagoh ke Bandar Muar bertembung lori dari arah bertentangan.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF, selain pemandu lori bersama kelindannya dan seorang penumpang bas parah, manakala 11 penumpang lain cedera ringan.

Difahamkan, lapan mangsa ditempatkan di wad biasa, seorang dirawat di hospital swasta dan seorang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPSF, manakala empat mangsa sudah dibenarkan pulang.

Berita berkaitan

'Nahas bas henti-henti'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 9:12 PM