BOMBA mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO Ihsan Bomba
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my


PEMANDU bas maut dan tiga individu parah selepas sebuah bas henti-henti bertembung dengan lori di Kampung Temiang, Jalan Salleh, di Muar, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, Nordin Kosnon, 53, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Idris Rajab berkata, lori berkenaan dalam perjalanan dari Muar ke arah Pagoh sebelum bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan.

“Susulan kejadian, pemandu bas terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF

“Pelanggaran itu turut menyebabkan seorang penumpang bas berkenaan, pemandu lori dan kelindannya parah,” katanya.

Beliau berkata, 11 penumpang lain di dalam bas terbabit dilaporkan hanya cedera.

“Mereka menerima rawatan lanjut di HPSF,” katanya.

Idris berkata, siasatan mendapati, kawasan kemalangan adalah laluan berselekoh serta ada jalan tengah bertanda.

“Ketika kejadian, trafik tidak sibuk dengan keadaan cuaca baik,” katanya.

Menurutnya, polis akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 4:19 PM