Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


JIRAN mendakwa melihat bapa menggunakan mop untuk mengelap kesan darah anaknya yang berlumuran di hadapan rumah, di Flat Puchong Permai, Puchong, semalam.

Kanak-kanak berusia lima tahun itu dipercayai diletakkan di hadapan rumahnya selepas lelaki itu menetak anaknya di kepala dan tangan dengan parang sehingga maut.

Jiran, S Letchumy, 68, berkata, jiran lain juga memaklumkan suspek berada dalam keadaan tidak sedar dan 'lalok' ketika membersihkan kawasan rumahnya.

"Ada jiran tanya, itu anak kamu ke? Lelaki itu mengatakan tidak, seolah-olah lelaki itu tidak sedar apa yang berlaku.

“Dia lap darah yang berlumuran itu lewat petang semalam, ketika itu saya baru bangun daripada tidur.

"Saya tidak pergi ke lokasi kejadian, saya ada masalah jantung.

"Saya mendapat maklumat mengenai insiden itu daripada jiran lain. Saya menangis ketika mendengar apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di flat itu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.45 petang semalam, suspek berusia 35 tahun itu dikatakan menetak kepala dan pergelangan kanan anaknya yang sedang tidur.

Suspek ditahan di rumahnya dan mendakwa membunuh anaknya selepas mendengar bisikan suara ghaib.

Selain itu, suspek juga dipercayai peminum tegar ketum dan didapati positif dadah jenis syabu.

Berita berkaitan

Selesai bedah siasat mangsa tetak

Bapa tetak anak peramah, tidak agresif

Bapa tetak anak tidur hingga maut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 3:45 PM