Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my

HUJAN lebat dan angin kencang malam tadi, mengakibatkan banyak rumah mengalami kerosakan termasuk bumbung diterbangkan angin.

Angin kencang selama kira-kira 30 minit mulai 11 malam itu turut menyebabkan tiang elektrik serta beberapa pokok di jalan utama di Tawau tumbang, selain beberapa kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang dan struktur yang roboh, namun tiada laporan membabitkan mangsa cedera.

Tinjauan di Kampung Maspul di Batu 2 Jalan Apas di sini, mendapati sekurang-kurangnya tujuh rumah rosak apabila atap dan dinding diterbangkan angin kencang.

Penduduk, Abdul Rahman Zainal Akril, 53, berkata, rumahnya rosak teruk apabila keseluruhan atap rumah diterbangkan angin.

Katanya, ketika kejadian dia dan anak serta ahli keluarga baru bersiap untuk tidur ketika hujan lebat disusuli petir dan kilat sebelum tiba-tiba angin bertiup kencang.

"Dari dalam rumah kami dapat dengar guruh berdentum, sebelum rumah bergegar dengan kuat kira-kira 10 minit disusuli bekalan elektrik terputus. Sebaik angin kencang berhenti, saya dapati atap rumah sudah diterbangkan angin," katanya ketika ditemui hari ini.


KEADAAN satu daripada yang rosak rumah selepas hujan lebat dan angin kencang, di Kampung Maspul, Batu 2 Jalan Apas, Tawau malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Seorang lagi penduduk, Samsudin Ganda, 56, berkata, kejadian angin kencang semalam antara yang terburuk pernah berlaku sejak tinggal di kampung itu, lebih 20 tahun lalu.

Katanya, angin kencang itu seolah-olah puting beliung apabila atap rumahnya diterbangkan sejauh lebih 30 meter sehingga hampir menghempap kediaman jiran.

"Walaupun rumah rosak teruk, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat selain berharap wakil rakyat atau pihak berkaitan sudi membantu semua mangsa yang terjejas akibat bencana alam ini," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima enam kes setakat 3 pagi tadi, antaranya atap dan dinding rumah runtuh masing-masing di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Maspul, Batu 2 Jalan Apas.

Selian itu, katanya, bomba menerima laporan tiga kejadian pokok tumbang yang menghalang lalu lintas di Jalan Tengku Osman, Jalan Tanjung Batu Laut dan Jalan Tanjung Batu Darat.

"Sebaik laporan diterima, beberapa pasukan dikejarkan ke lokasi kejadian dan operasi berjalan lancar membabitkan kerja membersihkan kawasan di beberapa kampung, termasuk memotong batang serta dahan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 12:42 PM