KAPAL mewah Equanimity di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang. FOTO Saddam Yusoff
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


TINDAKAN penyitaan kapal mewah Equanimity dan dua syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah sah mengikut undang-undang negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, pembelian kapal itu didakwa tidak sah kerana dipercayai menggunakan wang 1MDB dan dua syarikat subsidiari.

Susulan permohonan kerajaan dan syarikat berkenaan, katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran penahanan terhadap Equanimity apabila ia tiba di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu.

“Oleh yang demikian, dakwaan kononnya Malaysia merampas prosiding negara lain adalah tidak benar sama sekali.

“Kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersetuju kerajaan Indonesia menyerahkan Equanimity kepada Malaysia.

“Justeru, tuduhan Malaysia merampas prosiding negara lain adalah tidak berasas sama sekali,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman (BN-UMNO Pengerang) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina bertanya sejauh mana kebenaran dakwaan peguam Low Taek Jho atau Jho Low bahawa tindakan menyita kapal Equanimity oleh kerajaan Malaysia adalah tidak sah dan merampas prosiding negara lain.

Vui Keong berkata, mengikut afidavit sokongan yang difailkan di mahkamah, rekod pada 9 September 2013 menyatakan kapal berkenaan dibina di Rotterdam, Belanda atas nama Low Taek Jho dan ibu bapanya iaitu Larry Low dan Evelyn Low.

Katanya, ibu bapa Jho Low dipercayai turut terbang dari Barcelona, Sepanyol ke Rotterdam untuk melihat kapal berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Azalina sama ada kerajaan akan membenarkan pihak yang mendakwa pemilik sebenar Equanimity membuat permohonan sebelum dijual, Vui Keong berkata, kerajaan menunggu kepulangan Jho Low untuk menuntut kapal berkenaan.

Vui Keong berkata, waran tangkap yang dikeluarkan Malaysia terhadap pemilik Equanimity mengikut nombor 1012086, Kepulauan Cayman dan dokumen mahkamah menyatakan mereka adalah pemilik kapal berkenaan.

“Afidavit juga difailkan pihak kerajaan untuk menyokong waran tangkap itu terhadap defendan dan kapal Equanimity.

“Malaysia menunggu kepulangan Jho Low untut menuntut Equanimity jika benar dia adalah pemiliknya.

“Pada 24 Mac 2014, peguam yang dilantik Jho Low membeli Equanimity dan dipercayai diserahkan kepada Jho Low pada 20 Jun 2014.

“Objektif prosiding adalah untuk meminta kapal itu dijual dan pada masa sama, satu deklarasi bahawa kumpulan 1MDB adalah pemilik kapal yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 12:22 PM