MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (tengah) bersama Ismail (kiri) dan Nga. FOTO Abdullah Yusof
Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratulhayat Mat Arif
cnews@nstp.com.my


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan pemilihan Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR, Ismail Yusof dan Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Cheh, sebagai calon dari Perak untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Ismail, 60, dan Hock Cheh, 66, masing-masing memperoleh 31 undi berbanding Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Muhammad Ismi Mat Taib, 44, dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar, 69, yang masing-masing memperolehi 28 undi.

Ismail dan Hock Cheh dipilih menerusi undian bersurat dan akan dilantik sebagai Senator untuk selama tiga tahun berkuatkuasa bulan ini.

Mereka menggantikan Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim yang meletakkan jawatan Ahli Dewan Negara pada 27 April lalu.

Sementara itu, DUN Perak turut meluluskan penubuhan dan pelantikan empat jawatankuasa DUN terdiri daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC), Jawatankuasa Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Bangunan Baharu DUN Perak.

Leong Cheok Keng (PH-DAP Malim Nawar) dilantik sebagai Pengerusi PAC manakala Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dilantik mengetuai tiga jawatankuasa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:33 PM