FADLI Yusof (kiri) bersama penyelam menyemai benih terumbu karang pada kerangka PVC pada Program Pemuliharaan Karang sempena Ulang Tahun ke-10 Pemasyhuran MPD di Pulau Tenggol, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


PUKAT dibuang nelayan ke laut di Pulau Redang, Perhentian, Tenggol dan Kapas di Terengganu, menyumbang kepada kemusnahan terumbu karang di perairan terbabit.

Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) Terengganu, Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 22 bidang pukat ditemui dibuang nelayan ke laut di kawasan pulau berkenaan.

“Selain pukat nelayan tempatan, kami turut mengesan pukat nelayan asing dibuang ke laut di pulau terbabit.

“Kami percaya mereka memukat berhampiran kawasan terumbu karang dan sebaik melihat rondaan pihak berkuasa, akan memotong pukat terbabit bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Sekiranya dibiarkan, ia bukan sahaja merosakkan terumbu karang, malah boleh membunuh hidupan marin lain,” katanya selepas perasmian Program Pemuliharaan Karang oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Fadli Yusof Zakaria sempena Ulang Tahun Ke-10 MPD di Pulau Tenggol, Dungun, hari ini.

Sementara itu, Fadli mencadangkan penyelam di negara ini membantu kerajaan melaksanakan program memulihara terumbu karang.

“Kerajaan banyak mengeluarkan peruntukan untuk membina tukun, kerangka Polivil Klorida (PVC), tukun kapal, konkrit dan bebola karang (reef ball) sebagai tempat pembiakan karang yang membabitkan kos tinggi.

“Penyelam boleh menjadikan ia sebagai projek angkat mereka dan menjaga tempat pembiakan terumbu karang dengan baik.

“Melalui kaedah itu, terumbu karang disemai dapat dijaga penyelam dalam usaha memulihara dan mencambahkan tumbesaran karang," katanya.

Pada majlis itu, MPD turut menyerahkan 10 kerangka PVC sebelum dibawa 30 penyelam termasuk dari JLTM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta Syarikat Tenggol Island Resort.

Fadli berkata, kawasan terumbu karang di negara ini termasuk Terengganu adalah tempat pembiakan ikan berkualiti yang mampu menjana ekonomi serta penyumbang jaminan bekalan makanan negara.

“Ancaman aktiviti semulajadi dan manusia menyumbang kepada 55 peratus kemusnahan terumbu karang dunia.

“Setiap tahun, ramai pelancong melawat pulau kita di seluruh negara kerana tertarik dengan keindahan terumbu karang dan sekiranya ia tidak dipulihara dengan baik, ia akan merugikan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:18 PM