Dr Mahathir bertanya sesuatu kepada Abu Kassim (kiri) ketika sidang media, turut kelihatan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan
cnews@nstp.com.my


“SAYA menjauhkan diri dan tidak mencampuri hal ehwal dalaman parti lain,” tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menjawab soalan media berhubung dakwaan bahawa beliau dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin cuba menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, ia adalah satu dakwaan yang sangat ‘baik’.

“Ia memerlukan orang itu untuk membuktikannya. Saya tidak pernah pun bercakap dengan orang lain mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Perdana Putra di Putrajaya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sebelum ini, pemimpin PKR yang juga Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Daim menjadi penghalang Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan selain mempunyai bukti dan maklumat mengenai perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, jet peribadi yang didakwa milik jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low akan dibawa pulang ke tanah air selepas ia berada dalam keadaan yang baik untuk diterbangkan.

Beliau berkata, jet berkenaan sudah agak lama tidak diterbangkan, justeru ia memerlukan penyelenggaraan sebelum dibawa pulang.

“Ia tidak selalu diterbangkan dan berada di atas lapangan agak lama, jadi ia ia mesti diselenggara dan diperiksa. Selepas selesai, ia akan dibawa ke sini,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan membawa pulang jet peribadi yang didakwa milik Jho Low selepas berjaya membawa pulang kapal mewah milik jutawan itu, Equanimity.

Menurutnya, Malaysia sedang berbincang dengan Singapura mengenai perkara itu.

Jet jenis Bombardier Global 5000 berharga AS$35 juta itu dipercayai dibeli menggunakan dana syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 8:09 PM