ROSLAN (kiri) menunjukkan lokasi mayat Muhammad Syafiq Farhan yang dijumpai di Pantai Puteri, Tanjung Kling.
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my

Melaka: Perkelahan dua sahabat di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, Muhammad Syafiq Farhan Roshisam, 18, dikatakan mandi bersama rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 18, sebelum hanyut 500 meter dari lokasi akibat dipukul ombak ketika air pasang.

Man berkata, rakannya yang mesra dipanggil Syafiq seorang yang periang dan ceria namun tidak menyangka permintaannya ingin berenang di pantai sejak dua hari lalu berakhir dengan kejadian tidak diingini.

“Syafiq kerap mengajak saya berenang di pantai sejak Sabtu lalu. Kami menaiki motosikal menuju Pantai Puteri.

“Ketika kejadian, Syafiq sempat berpaut pada bahu saya dan saya cuba mencapai tangannya namun semua berlaku sekelip mata apabila tangannya terlepas dan dia hilang daripada pandangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini, semalam.

Kedua-dua mereka masing-masing penuntut diploma pereka grafik dan pengurusan perniagaan semester satu Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST), Ayer Keroh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Abd Jalil berkata, sekumpulan 14 anggota termasuk Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Shahrin Saad dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan jam 12.01 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi, pihak kami mendapati mangsa terdampar di pantai selepas orang awam menariknya yang terapung ke tepi pantai.

“Berdasarkan maklumat rakannya, mereka mandi berhampiran batu sembilan dan mangsa tiba-tiba lemas dipercayai dipukul ombak kuat sebelum hanyut 500 meter dari lokasi kejadian. Rakannya cuba mencapai tangan mangsa namun terlucut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi, di sini, semalam, mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:59 AM