KERUSI Musa kosong pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-15 di Bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah
Kristy Inus dan Mohd Izham Unnip Abdullah
cnews@nstp.com.my


SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Syed Abas Syed Ali tidak menyebut mengenai ketidakhadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman pada persidangan DUN yang bermula hari ini.

Syed Abas hanya memaklumkan menerima dua surat mengenai ketidakhadiran daripada ADUN Elopura, Chong Ket Kiun dan ADUN Balung, Datuk Osman Jamal pada persidangan kali ini.

Bagaimanapun, Musa yang tidak kelihatan di DUN Sabah menimbulkan persoalan mengenai kedudukannya sebagai ADUN kerana beliau belum mengangkat sumpah walaupun DUN Sabah sudah bersidang kali ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Sebelum ini, Musa yang juga bekas Ketua Menteri dalam kenyataan menerusi peguamnya mendakwa ada menghantar surat kepada speaker mengenai keadaan kesihatannya sekali gus tidak membolehkannya hadir pada persidangan DUN kali ini.

Musa yang kini dilaporkan berada di United Kingdom mendakwa tidak boleh hadir kerana tidak dapat pulang ke Sabah atas nasihat doktor kerana masih menjalani rawatan kesihatan.

Syed Abas sebelum ini memaklumkan beliau ada menerima surat daripada peguam Musa mengenai ketidakhadirannya di persidangan DUN Sabah kali ini, namun enggan mendedahkan isi kandungan surat.

Musa perlu mengangkat sumpah selewat-lewatnya 8 atau 9 September depan iaitu tiga bulan selepas persidangan pertama DUN pada 11 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:48 AM