HM Digital

Taiping: Sebanyak tujuh rangka anggota tentera New Zealand di Perkuburan Perang Komanwel (CWG), Kem Kamunting dibawa ke Kuala Lumpur semalam sebelum dihantar pulang pada 20 Ogos ini.

Satu upacara penuh istiadat perhormatan terakhir sempena ‘Send-Off’ semua rangka terbabit dari Markas Staf Stesen (MSS) ke Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.

Seramai 235 anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil dari Jabatan Kesihatan Perak menghadiri upacara itu sebagai simbolik penghormatan oleh ATM kepada anggota tentera New Zealand yang dikebumikan di CWG sejak 1958 hingga 1960.

Turut hadir memberi penghormatan, Panglima 2 Briged, Datuk Mohd Nizam Jaafar, Ketua Pakar Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr Mohd Shafie Othman dan wakil Komander Tentera New Zealand, Trevor Leslie.

Istiadat berkenaan diketuai oleh seorang pegawai dan 39 anggota lain-lain pangkat dari Kem Garison Taiping dan tujuh van yang membawa setiap keranda itu bertolak dari MSS tepat jam 12.45 tengah hari.


UPACARA Send Off Rangka anggota tentera New Zealand di Markas Staf Stesen,Taiping.

Sementara itu, Mohd Nizam ketika ditemui selepas istiadat itu selesai, berkata semua rangka yang diserahkan hari ini adalah mereka yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua.

“Ini adalah kali pertama (penyerahan rangka) dilaksanakan bersama New Zealand dan pertama kali juga ia diadakan dalam istiadat penuh ketenteraan,” katanya.

Semua tujuh keranda terbabit akan ditempatkan sementara di Dewan Wardieburn, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada kerajaan New Zealand pada 20 Ogos ini dalam satu upacara rasmi penyerahan 28 rangka anggota tentera New Zealand (Op Te Auraki) daripada kerajaan Malaysia kepada kerajaan New Zealand di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:18 AM