LOKASI pencarian Sinayoh. Gambar kecil (Sinayoh). FOTO Ihsan Polis dan Bomba

Norasikin Daineh

norasikin_daineh@nstp.com.my

“SUDAH beberapa kali dia keluar rumah dan tidak dapat ingat jalan pulang kerana nenek sudah tua,” kata Normah Ensum, 41, cucu kepada wanita warga emas yang hilang di hutan sejak Jumaat lalu di Kampung Taburan, di Kota Belud.

Menurut Normah, neneknya, Sinayoh Masukong, 86, hanya disedari tiada di rumah kira-kira jam 5.30 pagi dan dipercayai sesat di kawasan hutan berhampiran rumahnya.

“Seorang penduduk kampung terlihat nenek saya pada jam 6 pagi hari sama dalam keadaan tersangkut di dahan berduri kira-kira 300 meter dari rumahnya di kawasan hutan.

“Penduduk cuba membantu, namun tidak berjaya kerana nenek saya bisu, pekak dan enggan dibantu ketika itu menyebabkan dia terpaksa mendapatkan bantuan dari penduduk lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Normah berkata, selepas mendapatkan bantuan penduduk lain dan kembali semula ke kawasan berkenaan, neneknya sudah tiada di lokasi terbabit.

“Sehubungan itu, kami membuat laporan polis dan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan mencari nenek yang hilang.

“Kami bimbang dengan keadaannya kerana dia sudah tua dan berharap ditemui semula dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, usaha mencari dan menyelamatkan mangsa sedang dilakukan Bomba dan Penyelamat , polis dan beberapa agensi lain sejak semalam namun belum ditemui.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata seramai 21 anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa hari ini.

“Semua anggota keluar ke lokasi pencarian pada jam 7 pagi namun setakat tengah hari ini, belum ada laporan berhubung penemuan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 8:52 PM