LOKASI penemuan bayi berkenaan. FOTO Rosli Ilhan
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“SAYA ingat lubang itu ditanam duit tak sangka rupanya mayat bayi,” kata Jafmi Mohd, 32, selepas menemui mayat bayi lelaki di kawasan semak di belakang sebuah gudang terbiar berhampiran Loji Petronas GPP 5&6, dekat Kampung Santong, Dungun, semalam.

Menurutnya, dia menemui mayat bayi itu ketika cuba masuk ke gudang terbiar milik kakaknya, kira-kira jam 8 pagi.

Katanya, sebelum kejadian, dia pergi ke gudang terbabit untuk menemui rakannya Nor Hafizul Nordin, 30, yang bertugas sebagai penjaga gudang itu.

“Saya tak dapat masuk kerana pintu pagar gudang itu berkunci dan saya menjerit memanggilnya namun rakan saya itu tidak dengar kerana tertidur.

“Saya kemudiannya cuba memasuki gudang dengan melalui jalan belakang yang bersemak sebelum ternampak sebuah beg kecil berwarna biru,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia melihat di tepi beg terbabit ada kesan tanah yang baru digali dan menyangka mungkin seseorang menanam duit atau barang berharga.

“Saya masuk ke dalam gudang dan mengambil cangkul lalu menggali lubang itu sebelum saya menemui tuala kecil.

“Saya menekan tuala itu namun berasa lembik dan terkejut apabila mendapati ia sebenarnya mayat seorang bayi,” katanya.

Katanya, dia yang sangat ketakutan berlari masuk ke gudang dan menjerit memanggil rakannya itu untuk memaklumkan perkara itu sebelum menghubungi Balai Polis Ketengah Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Terengganu dipanggil bagi menjalankan siasatan.

“Mayat bayi terbabit kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Penemuan mayat bayi itu adalah kes kedua berlaku di Dungun kerana pada Jun lalu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dibungkus dalam beg sampah di tapak pelupusan sampah di Kampung Bukit Lat.

Berita berkaitan

Mayat bayi dalam lubang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 6:36 PM