KAPAL mewah Equanimity. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


AHLI perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low bertegas tindakan kerajaan menyita kapal mewah Equanimity berhubung skandal penyelewengan dana 1MDB sebagai tidak sah.

Kenyataan Jho Low itu dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan, hari ini menerusi peguamnya yang menuduh tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'merampas' prosiding undang-undang negara lain.

Malah, beliau turut menyelar kenyataan kerajaan yang mahu menjualnya dengan secepat mungkin bagi mengelak penyusutan nilai.

Laporan itu menyebut bahawa kenyataan peguam Jho Low sebagai maklum balas terhadap kenyataan Dr Mahathir, semalam yang menegaskan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia sependapat dengan Malaysia bahawa Equanimity milik Jho Low dibeli menggunakan 'duit rakyat Malaysia'.

Jhow Low menerusi peguamnya menuduh tindakan itu sebagai 'perbicaraan oleh media' di bawah pentadbiran Dr Mahathir dan dilihat memutar belit kenyataan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) yang tidak terbabit dalam rampasan berkenaan.

“Perbicaraan Dr Mahathir oleh media menjadikan isu ini tidak mengikut proses perundangan yang adil dan saksama, sama seperti ketika mereka memanipulasi sistem Malaysia ketika krisis kehakiman pada 1988.

“Tindakannya merampas Equanimity membuktikan kerajaan merampas prosiding undang-undang negara lain,” katanya sebagaimana dilaporkan portal berita itu.

Sebelum ini, kapal Equanimity menjadi pertikaian antara AS dan Indonesia selepas negara jiran itu memfailkan saman sivil penyitaan terhadap Equanimity yang bernilai RM1 bilion.

Bagaimanapun, kapal berkenaan tiba di jeti Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang, pada jam 1 tengah hari Selasa lalu selepas belayar hampir 20 jam dari Batam, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 4:36 PM