SALLEH san Nor Aini selesa di persekitaran hijau di FRIM. Manakala (gambar kecil atas kanan) ketika Salleh menyertai misi ke Antartika. (GAMBAR bawah kanan) Kenangan bersama Tun Mahathir. FOTO/FAIL
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


BUKAN janji kosong, seawal jam 9 pagi penulis sudah diingatkan mengenai janji temu bersama Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor oleh isteri beliau, Nor Aini Zainol Rashid yang bakal berlangsung dalam tempoh setengah jam lagi.

Sebaik mendekati Kedai Buku Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kelibat mantan Ketua Pengarah FRIM sudah sedia menunggu di depan bangunan hijau itu.

Menurut anak jati Kampung Inas, Johol, Negeri Sembilan, menepati masa menjadi keutamaannya kerana itu menunjukkan ciri berdisiplin tinggi apatah pernah bersekolah di Kolej Tentera Persekutuan (FMC) atau kini dikenali Maktab Tentera Diraja (RMC) pada 1957.

Meskipun dibesarkan dalam keluarga susah iaitu bapanya, Mohd Nor Rajab yang asalnya penoreh getah, sebaik mendapat tawaran menjadi pemandu kepada Pengawal Kerabat Diraja Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang berketurunan Inggeris dipanggil Mr Malim, ternyata membuka peluang untuknya memberikan pendidikan lebih baik kepada anak-anaknya.

“Seingat saya, selepas perang sekitar 1947 kami sekeluarga mengikut bapa berpindah ke Kuala Pilah apabila menjadi pemandu kepada pegawai istana Sri Menanti yang berketurunan Inggeris. Majikan bapa dan isterinya melayan saya seperti anak sendiri kerana tidak mempunyai anak lelaki.

“Mereka hanya mempunyai anak angkat perempuan yang empat tahun lebih tua daripada saya. Sehingga kini saya masih rapat dengannya yang saya sudah anggap seperti kakak kandung.

“Saya ialah anak lelaki sulung dalam keluarga dan didikan diberi bapa antaranya ialah sikap bertanggungjawab sejak kecil lagi menerusi tugas menjaga haiwan ternakan keluarga.

“Meskipun bapa sibuk dengan tugasnya sebagai pemandu, dia sangat rajin bercucuk tanam, malah menternak lembu dan kambing yang membolehkan kami sekeluarga menikmati hidup selesa.

“Jadi, sudah menjadi kebiasaan setiap petang, saya perlu membawa lembu meragut selain menyediakan daun tembusu untuk makanan kambing pada waktu malam.

“Lebih berat lagi apabila bapa mengahwini ibu tiri ketika saya berusia lapan tahun. Saya perlu membantu bapa termasuklah melakukan kerja rumah dan menjual kuih-muih yang dibuat ibu tiri. Hubungan saya dengan ibu tiri juga sangat baik kerana dia menjaga kebajikan saya ketika di rumahnya,” katanya yang mempunyai sembilan beradik terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan.

Meskipun lahir dalam keluarga miskin, itu tidak menghalang Dr Salleh mengecapi kejayaan dalam bidang akademik terutama dirinya yang begitu gemar membaca.

“Keluarga saya bukan orang senang dan buku pula terlalu mahal. Jadi perpustakaan menjadi tempat kegemaran saya mengisi masa lapang, selain membaca di padang ragut dan ladang kambing.

“Dulu saya amat meminati buku siri penyiasatan Enid Blyton sehinggalah satu tahap terlalu asyik membaca, terlupa menjaga lembu melintas jalan dan akibatnya menjadi mangsa sumpah seranah pemandu motokar melalui jalan Kuala Pilah-Tampin ketika itu,” katanya.

Menceritakan perjalanan kariernya dalam bidang perhutanan, kata Dr Salleh, sebenarnya seawal mengikuti persekolahan di Sekolah Rendah Tuanku Muhammad (TMS) Kuala Pilah lagi beliau sudah menyedari kepentingan subjek Sains.

Perjalanannya itu disuburkan lagi menerusi hasratnya yang ingin menyambung pengajian ke luar negara selepas dipengaruhi oleh cerita bapanya yang dititah supaya mengikuti anak Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar untuk menjadi pemandu di London selama dua tahun dan seterusnya di New York apabila baginda menjadi Setiausaha Pertama di Konsulat Malaysia.

“Salah satu sebab awal saya berminat mendalami bidang perhutanan kerana keinginan untuk belajar di luar negara selepas mendengar pengembaraan bapa ketika beliau di luar negara. Ketika itu biasiswa perhutanan salah satu bidang yang memerlukan pelajarnya dihantar keluar negara kerana tidak ditawarkan di universiti tempatan.

“Saya terpilih sebagai penerima biasiswa selepas ditemuduga mantan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Allahyarham Ismail Ali yang juga pegawai perhutanan ketika itu dan perlu menjalani orientasi di Sydney selama seminggu termasuklah penguasaan loghat Australia sebelum menyambung pengajian di Universiti Adelaide.

“Cabaran ketika itu ialah saya kurang meminati subjek yang perlu menghafal terutama botani dan dendrologi tetapi dorongan diterima ialah persekitaran kampus baik kawan serta kuliah ketika itu menyeronokkan. Malah dorongan lain ialah keluarga di Malaysia yang menanti kepulangan saya.

“Tidak boleh lupa ialah kenangan ketika perlu bekerja di lapangan. Saya dihantar ke kawasan Gunung Crawford pada musim sejuk untuk menanam pokok pain. Tidak mudah untuk menanam pokok pada musim sejuk, apatah lagi di kawasan pergunungan tetapi layanan baik terutama daripada kalangan pekerja ketika itu membuatkan saya boleh bertahan di situ,” katanya.

Bermula dengan tugas sebagai inventori hutan di beberapa negeri, Dr Salleh berkata, hutan ibarat rumah keduanya. Malah padanya tidaklah mustahil untuk dia berada di hutan berbulan-bulan lamanya kerana alam belantara itu sudah sebati dengan jiwanya.

“Saya pernah bermalam selama dua bulan berturut-turut dalam hutan ketika melakukan inventori untuk pembangunan FELDA. Jadi tugas saya bersama rakan lain mengutip data dan melaporkan mengenai kawasan hutan menjadi salah satu agenda kerajaan untuk pembangunan pertanian ketika itu.

“Kemudian apabila dilantik menjadi Presiden Persatuan Pencinta Alam (MNS) selama 30 tahun sejak 1966, saya berhasrat persatuan kecil ini dapat mewakili suara rakyat dan berimpak tinggi mengenai pemuliharaan alam semula jadi.

“Saya terkesan dengan hasil pembangunan FELDA apabila terdapat segelintir pihak bertindak rakus dalam penerokaan hutan terutama kehadiran ratusan lori balak membawa kayu balak hingga menjejaskan muka bumi asal. Sana sini berlaku hakisan tanah selain sungai menjadi keruh seperti teh tarik.

“Meskipun ada ketika saya berada pada posisi dilabel antikerajaan kerana berdiri sebagai aktivis alam sekitar dan pada masa sama memikul peranan sebagai Ketua Pengarah FRIM, pada saya ia tidak bercanggah kerana jawatan di agensi itu seiring dengan perjuangan saya dalam pemuliharaan hutan.

“Antara usaha pernah saya lakukan bersama rakan aktivis MNS termasuklah menjalankan gerakan bagi membatalkan beberapa projek memberi impak buruk kepada alam semula jadi seperti projek pembinaan bandar linear di atas Sungai Gombak dan pembalakan kawasan tadahan air di jelapang padi Kedah.

“Paling hebat pernah saya hadapi ialah ketika bersama rakan komuniti Friends of Kota Damansara menentang rancangan negeri Selangor membalak di hutan simpan tertua negara iaitu Hutan Simpan Sungai Buloh atau Hutan Kota Damansara,” katanya.

Perjuangan Dr Salleh dalam memelihara hutan cukup harum apabila dua denai di FRIM Kepong dan Kota Damansara selain spesies tumbuhan ‘Licuala Sallehana’ dinamakan sempena nama beliau.

“Kepuasan saya ialah apabila kawasan hutan tertentu dapat dirizabkan sebagai taman negara sebagai contoh Taman Negara Endau Rompin dan Taman Negara Belum yang dilindungi untuk dinikmati generasi masa depan.

“Tanggungjawab menjaga hutan itu bukan disandarkan kepada NGO mahupun agensi kerajaan tertentu semata-semata, sebaliknya semua pihak. Semua orang boleh menyumbang dalam usaha memelihara hutan kita. Cara paling mudah ialah hapuskan sikap suka membuang sampah ketika meneroka keindahan alam semula jadi kita. Mulakan amalan kitar semula untuk kepentingan bersama.

“Saya mahu berkongsi kata-kata hikmah Mahatma Gandhi yang bermaksud dunia ini mencukupi untuk keperluan semua tetapi tidak bagi mereka yang tamak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 10:44 AM