Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


BOT tunda membawa muatan minyak kelapa sawit nyaris dirompak 10 lelaki dalam kejadian di perairan Tambisan, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, lima kru bot tunda berusia antara 25 hingga 45 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam dek sebelum bertindak menghubungi pasukan keselamatan.

Difahamkan, bot tunda itu dalam perjalanan dari Felda Sahabat ke Kuantan, Pahang, namun sebaik tiba di perairan Tambisan tiba-tiba sekumpulan lelaki tidak dikenali menghampiri dan menaiki bot tunda itu.

Tindakan kru bot tunda menghubungi pasukan keselamatan menyebabkan penjenayah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot pasukan keselamatan di kawasan itu.

Tiada kecederaan atau kehilangan barangan dalam kejadian itu dilaporkan.

Berikutan kejadian itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali mengingatkan kepada semua kapal yang melalui perairan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) supaya lebih waspada dan sentiasa memaklumkan kedudukan pergerakan mereka kepada Pusat Operasi ESSCOM bagi tujuan pemantauan keselamatan dan memudahkan pihak ESSCOM membantu jika ada sebarang kejadian jenayah atau sebarang kecemasan yang berlaku di laut.

"Pihak ESSCOM juga menyarankan supaya kapal atau bot sentiasa mengaktifkan Sistem Pengesanan Automatik (AIS), melaporkan jadual perjalanan dan menggunakan panggilan kecemasan sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan supaya ESSCOM dapat mengambil langkah-langkah perlu termasuk menghantar bot keselamatan untuk membantu.

"ESSCOM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan akan sentiasa memantau serta memperketatkan kawalan keselamatan di perairan ESSZONE terutamanya di kawasan panas dan yang disyaki menjadi laluan penjenayah rentas sempadan melakukan jenayah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Hazani berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan termasuk memaklumkan Pusat Operasi ESSCOM dan kedudukan semasa kapal atau bot tunda untuk tujuan pemantauan serta kawalan keselamatan.

"Tindakan ini adalah perlu bagi memastikan keselamatan pelayaran kapal atau bot tunda di perairan ESSZONE sentiasa terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 9:24 AM