PROTON Wira yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 82.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Batu 5, yang mengorbankan pemandunya, Partiban A/L Ravi Chandran. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


LELAKI maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dipandunya dalam kemalangan di Kilometer 82.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Batu 5, Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, RC Partiban, 25, yang berasal dari Taman Dato Rashid, Kuantan, Pahang, maut di tempat kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh pagar rumah di situ yang menyebabkan mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dipandunya.

Kemalangan turut menyebabkan kereta Proton Saga BLM dipandu wanita berusia 23 tahun yang berada di belakang kereta mangsa berpusing sebelum dirempuh sebuah lagi Proton Wira dipandu lelaki berusia 28 tahun ketika cuba mengelak kenderaan Partiban yang hilang kawalan.

Kedua-dua pemandu terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu Proton Saga BLM, Syazreen Syafika berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Kerteh untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Abang, di sini.

Katanya, ketika kejadian hujan sangat lebat dan dia mengekori kereta lain yang berada di belakang kereta mangsa.

"Tiba-tiba kereta di depan saya itu menekan brek kecemasan untuk mengelak terlanggar kereta mangsa yang hilang kawalan menyebabkan saya turut menekan brek mengejut sehingga kereta saya berpusing.

Dalam masa sama, sebuah lagi Proton Wira di belakang saya gagal mengelak lalu merempuh kereta saya. Saya bersyukur tidak cedera dalam kemalangan ini, " katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

"Ketika kejadian keadaan jalan basah akibat hujan lebat dan polis sudah menghubungi keluarga mendiang memaklumkan kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 8:53 AM