GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


PERJALANAN pulang seorang lelaki ke rumahnya menjadi mimpi ngeri selepas dia ditetak individu tidak dikenali di kawasan perumahan Flat Padungan, Kuching, Isnin lalu.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun ditemui berlumuran darah oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, mangsa yang parah di bahagian rusuk dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh ambulans.

Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kemudiannya bergegas ke HUS untuk mendapatkan keterangan lanjut daripada mangsa.

"Mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan bahagian rusuknya parah, namun tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

"Polis kini sedang mengumpul maklumat berhubung motif mangsa diserang suspek. Saksi awam juga kini sedang giat dicari untuk mendapatkan gambaran kejadian," katanya.

Ah Lek berkata, mangsa kini masih menerima rawatan di HUS kerana dilaporkan masih dalam keadaan kritikal, namun pemantauan berterusan dilakukan pasukan perubatan.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu polis menjalankan siasatan sekali gus membolehkan suspek ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 1:40 PM