AHMAD Sohaimi (duduk) dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman melihat maklumat terkini jemaah haji yang dipaparkan menerusi Dashboard Maktab. FOTO Tuan Asri Tuan Hussein
Tuan Asri Tuan Hussein

PROSES mengurus pergerakan 30,200 jemaah haji bagi musim haji tahun ini menjadi lebih mudah apabila aplikasi Dashboard Maktab yang pertama kali diguna pakai berfungsi dengan baik dan menunjukkan keberkesanannya.

Biarpun baru dibangunkan awal tahun ini oleh Theta Edge Bhd, anak syarikat Tabung Haji (TH), aplikasi itu amat membantu petugas TH mendapat maklumat terkini mengenai pergerakan jemaah haji.

Pengarah Operasi Makkah Datuk Ahmad Sohaimi Abd Rahim berkata, Dashboard Maktab berfungsi sebagai satu pusat sehenti kerana ia dipautkan dengan beberapa aplikasi TH sedia ada.

Menurutnya, maklumat ‘real time’ atau pada masa sebenar mengenai pergerakan jemaah itu amat berguna terutama kepada pengurus 12 Maktab atau bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Makkah.

"Melalui Dashboard Maktab ini, petugas boleh mendapatkan maklumat berkenaan pergerakan jemaah haji, terutama yang bakal dan sudah tiba di Makkah, sama ada dari Madinah atau terus dari tanah air melalui terminal di Jeddah.

"Petugas terutama Pengurus Maktab yang diberi akses untuk aplikasi ini juga boleh mengetahui dengan pantas jumlah jemaah yang dimasukkan ke wad di pusat kesihatan TH atau hospital tempatan, serta jumlah kematian," katanya dalam sidang media, di sini.

Ahmad Sohaimi berkata, sebagai satu pusat sehenti Dashboard Maktab turut menyimpan maklumat semua jemaah haji Malaysia seperti pecahan jantina, kumpulan umur dan alamat tetap jemaah di tanah air.

Menurutnya, memandangkan tahun ini kali pertama Dahsboard Maktab diperkenalkan, masih banyak penambahbaikan akan dilaksanakan pihaknya pada masa depan bagi menjadikan fungsinya lebih menyeluruh.

"Sistem ini akan di tambah baik di masa akan datang dan kita akan pautkan lebih banyak aplikasi-aplikasi haji TH yang lain termasuk e-Lencana Pengenalan Haji yang kini dalam peringkat percubaan," katanya.

Menurutnya, penambahbaikan juga akan membabitkan perluasan rangkaian maklumat ‘real time’ di peringkat operasi lain seperti di Madinah serta infomasi pergerakan jemaah dari Makkah untuk wukuf Arafah, Muzdalifah dan Mina semasa operasi masyair.

Ahmad Sohaimi berkata, antara maklumat penting operasi masyair itu termasuk jumlah bas dan jemaah yang telah bertolak ke Arafah, waktu bertolak dan waktu ketibaan di destinasi.

caption:

1. Ahmad Sohaimi (duduk) dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman melihat maklumat terkini jemaah haji yang dipaparkan menerusi Dashboard Maktab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 1:00 PM