PERALATAN yang dirampas daripada tiga suspek pecah premis di Permaisuri, Setiu. FOTO Imran Makhzan
Zarina Abdullah
cnews@nstp.com.my


DUA penyamun warga asing dipercayai anggota sindiket geng tebuk peti besi ditahan selepas gagal memecah masuk sebuah kedai menjual bahan binaan di Bandar Permaisuri, Setiu, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sekumpulan anggota JSJ ke lokasi kejadian pada 1 pagi selepas dimaklumkan pengawal keselamatan yang bertugas di pasar raya bersebelahan premis terbabit.

Fazlisyam berkata, laporan mengatakan bahawa Proton BLM merah didapati dalam keadaan mencurigakan memasuki bahagian belakang premis kedai bahan binaan itu.

“Apabila tiba, pihaknya mendapati tiga lelaki sedang sibuk mengumpil pintu belakang premis kedai itu dan terus bertindak mengepung suspek.

“Seorang berjaya dicekup di tempat kejadian sementara seorang lari ke dalam semak berdekatan dan seorang lagi menuju kenderaan dan memecut kereta itu keluar,” katanya dalam sidang media di pejabat JSJ, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPK) hari ini.

Beliau berkata, suspek kedua yang melarikan diri menaiki kenderaan itu berjaya ditahan selepas dikejar polis sebelum dicekup berdekatan Masjid Bukit Besar di bandar Permaisuri.

Siasatan seterusnya membawa kepada rampasan beberapa pasang sarung tangan, mesin gerudi elektrik, pemutar skrew dan lain-lain alat untuk kegiatan mencuri.

“Siasatan awal mendapati dua suspek yang ditahan warga Vietnam berusia 30 dan 37 tahun dan suspek ketiga yang sedang menyembunyikan diri juga warga Vietnam berdasarkan pasport yang ditemui dalam kenderaan yang disewa itu,” katanya.

Fazlisyam berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat dari pelbagai pihak untuk memastikan kaitan suspek dengan kes pecah kedai, tebuk peti besi dan tebuk pasar raya di seluruh negara.

“Terdapat lapan kes membabitkan kes memecah pasar raya, tebuk premis dan pecah peti besi berlaku di negara ini.

“Kejadian awal pagi ini pertama berlaku di Terengganu dengan modus operandi penggunaan alat gerudi dan kami serius dalam soal ini kerana ia didalangi warga asing,” katanya.

Fazlisyam berkata, suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan pencerobohan atau pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 2:31 PM