POLIS mengiringi majistret untuk proses reman suspek kes bunuh di Hospital Sibu

Harun Yahya

news@nstp.com.my

SUSPEK kes bunuh seorang penjawat awam wanita di Jalan Tiong Hua, Khamis lalu, direman tujuh hari sehingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Saiful Sayoti di Hospital Sibu, Sibu, hari ini, berikutan suspek ketika ini menjalani rawatan.

Beliau berkata, suspek dikejarkan ke hospital sejurus ditahan di sebuah rumah panjang di Julau, pada jam 10.40 pagi semalam, selepas ditemui dalam keadaan lemah kerana meminum racun dipercayai untuk membunuh diri.

“Kita percaya penahanan suspek mampu menyelesaikan kes ini, termasuk merungkai motif sebenar pembunuhan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bergegas ke sebuah rumah panjang di Julau selepas menerima maklumat awam mengenai kehadiran suspek, di situ.

Sebaik tiba, suspek ditemui dalam keadaan lemah dalam tandas rumah panjang berkenaan selepas meminum sejenis cecair dipercayai racun.

Serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Julau, Inspektor Rafi Jaraie dan berjaya menangkap suspek yang berada dalam tandas rumah panjang berkenaan.

Turut ditemui, satu botol lut sinar dipercayai mengandungi cecair racun yang diminum suspek.

Kes pembunuhan Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, yang juga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencuri tumpuan selepas mangsa ditemui mati dalam keadaan tangan dan kakinya diikat di bilik sewanya, pada jam 3.45 petang, Khamis lalu.

Mayat mangsa ditemui oleh rakan sekerjanya yang bergegas ke bilik sewanya apabila wanita itu tidak hadir syif tugasannya dan gagal dihubungi.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalam di bahagian kepalanya, dipercayai impak hentakan menggunakan objek tumpul.

Sehingga kini, polis masih menyiasat motif pembunuhan mangsa, termasuk mengenal pasti hubungannya dengan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 12:24 PM