KAPAL mewah 'The Equanimity' yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1MDB tiba di Boustead Cruise Centre. Foto NSTP/ SAIRIEN NAFIS
Bloomberg

PEGUAM kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low memfailkan notis kepada sebuah mahkamah daerah California Isnin lalu untuk mengarahkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan maklumat berhubung pemindahan kapal layar mewah, Equanimity ke Malaysia.

Terdahulu, Malaysia mengeluarkan waran untuk merampas secara rasmi kapal layar mewah berharga AS$250 juta (RM1.02 bilion) itu di tengah insiden tarik tali antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Jho Low.

Pejabat Peguam Negara mengeluarkan waran tangkap 6 Ogos lalu supaya kapal layar itu dirampas mengikut undang-undang Malaysia.

Kapal layar mewah itu tiba di Pelabuhan Klang semalam selepas dibawa dari Indonesia di mana ia dirampas Februari lalu sebagai sebahagian siasatan Jabatan Kehakiman AS terhadap isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, rampasan itu adalah hasil kerja sama dari segi perundangan antara Indonesia, Malaysia dan AS yang diaktifkan baru-baru ini serta perbincangan peringkat tinggi agensi tiga negara.

Laporan Bloomberg menyatakan, Isnin lalu, pasukan perundangan Jho Low menentang permohonan kerajaan AS untuk menggantung prosiding sementara ia menentukan niat sebenar Malaysia terhadap pemilikan kapal terbabit.

Peguamnya juga meminta AS menyatakan sebarang usaha dibuat bagi memperoleh kapal mewah berkenaan dan mendapatkan penjelasan daripada Malaysia menerusi satu laporan status menjelang 17 Ogos ini.

Kapal layar mewah itu, yang dirampas polis Indonesia Februari lalu, adalah antara aset bernilai AS$1.7 bilion (RM6.93 bilion) yang dikatakan penyiasat AS dibeli secara haram menggunakan wang disalurkan daripada dana 1MDB.

Malaysia mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low yang masih bebas.

Polis menerima maklumat daripada rakan sejawatan di Macau, ahli perniagaan itu sudah meninggalkan wilayah berkenaan ke lokasi tidak diketahui seawal Julai lalu.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Kapal Jho Low tiba tengah hari

[UPDATE] Equanimity masuk Selat Melaka

The Equanimity mungkin dijual...

Belayar 'pulang' ke Pelabuhan Klang [METROTV]

The Equanimity diserahkan kepada Malaysia?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 11:45 AM