Azam Shah Yaacob dan Safeek Affendy Razali dan Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


DATUK Seri Najib Razak perlu hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur, esok bagi menghadapi sekurang-kurangnya tiga lagi pertuduhan membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Sebelum itu, Najib yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan tiba di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, jam 5 petang hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu dilihat menaiki kenderaan Toyota Vellfire dan diiringi dua kenderaan lain.

Sumber SPRM berkata, Najib dipanggil untuk memberi keterangan berhubung tiga lagi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2011.

Katanya, beliau dilihat keluar dari bangunan MACA selepas 45 minit memberi keterangan pada 5.47 petang.


NAJIB (dua kanan) hadir bagi memberi keterangan kepada SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

“Beliau memberi keterangan di MACA, hari ini dan SPRM juga menyerahkan notis perintah hadir ke mahkamah buat kali kedua.

“Najib akan berdepan tiga lagi pertuduhan mengikut akta sama (AMLA) berhubung penyelewengan wang milik SRC International di Mahkamah Kuala Lumpur esok,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya adakah Najib akan ditahan bagi membolehkan pertuduhan dijalankan esok, sumber itu berkata, SPRM tidak akan menahan bekas Perdana Menteri berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan perkara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 7:44 PM