ANGGOTA polis menjalankan siasatan di rumah mangsa di Taman Seri Pinang, Kulim, hari ini. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim
cnews@nstp.com.my


“SAYA terjaga daripada tidur pada jam 5 pagi selepas terdengar bunyi letupan di luar rumah lalu keluar memeriksa di ruang tamu sebelum masuk semula apabila isteri memberitahu tiada apa yang berlaku."

Begitu kata mangsa yang mahu dikenali sebagai Huat, 59, apabila rumahnya terkena tembakan dalam kejadian di Taman Seri Pinang, Kulim, hari ini.

Lelaki itu hanya menyedari rumahnya terdapat dua lubang pada pintu utama jenis cermin gelongsor dipercayai kesan tembakan pada jam 7 pagi ketika mahu keluar.

Huat berkata, dia kemudian memeriksa sekeliling halaman rumah sebelum menemui satu lagi kesan lubang pada cermin tingkap.

Katanya, dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim berhubung kejadian itu.

“Saya tidak tahu punca sebenar kejadian, tambahan pula kami tidak mempunyai musuh kerana hanya menjalankan perniagaan perabot,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Katanya, dia tinggal di rumah itu bersama tujuh ahli keluarga termasuk tiga kanak-kanak dan pihak polis yang memeriksa kawasan rumah menemui dua lagi lubang kesan peluru pada sengkuap.

“Saya tidak sangka bunyi letupan yang didengari pada awal pagi tadi berpunca daripada tembakan oleh orang yang tidak dikenal pasti.

“Nasib kami baik kerana tiada sesiapa mengalami kecederaan akibat daripada tembakan itu,” katanya yang masih trauma.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemui lapan kelongsong peluru di atas jalan di hadapan rumah mangsa.

“Hasil siasatan lanjut polis menemui dua lubang dipercayai kesan tembakan pada pintu hadapan jenis cermin gelongsor dan satu kesan lubang pada bahagian cermin tingkap hadapan dan dua kesan lubang pada sengkuap.

“Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 7:28 PM