OPERASI Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu memindahkan gajah jantan liar yang ditangkap di sempadan Hutan Simpan Bukit Kesing berdekatan Kampung Pelong ke Taman Negara, Tasik Kenyir dengan bantuan dua ekor gajah denak betina bernama Abot dan Rambai. FOTO Ghazali Kori
Nurul Fatihah Sulaini
cnews@nstp.com.my


ABOT dan Rambai, dua gajah betina denak, berjaya memikat gajah jantan yang di tangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sempadan Hutan Simpan Bukit Kesing berdekatan Pelong, Setiu pada Khamis lalu dan dipindahkan ke Taman Negara Tasik Kenyir, hari ini.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Rahmah Ilias berkata, sebelum ini mereka menerima aduan sekumpulan gajah termasuk yang ditangkap, berusia lebih 10 tahun itu dikesan memusnahkan tanaman penduduk Kampung Pelong sejak awal bulan ini.

"Operasi memindahkan gajah liar seberat lebih satu tan itu dibantu dengan menggunakan dua ekor gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Pahang sebagai umpan untuk memujuk.

"Kita bermula sejak semalam dan disambung semula pada 8 pagi untuk membawa keluar gajah liar kira-kira 11 pagi dengan mengambil masa satu jam untuk dimasukkan ke dalam lori," katanya kepada media sewaktu menyertai operasi pemindahan gajah liar di Kampung Pelong, di sini.

Katanya, proses pemindahan berjalan lancar dan tiada insiden tidak diingini berlaku.

"Seramai 20 kakitangan Perhilitan yang terbabit dan kita juga dibantu Pejabat Daerah Setiu untuk kerja-kerja pemindahan.

"Setakat ini kira-kira 10 aduan ancaman gajah diterima dari penduduk Pelong dan tertinggi bagi daerah Setiu, aduan juga turut diterima dari daerah Dungun, Kemaman serta Hulu Terengganu," katanya.

Sementara itu penduduk kampung, Mohd Hafizi Kamarul Zaman, 32, berkata, serangan gajah kali ini menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 apabila semua 70 pokok kelapa matag yang ditanam di atas tanah seluas dua ekar, musnah.

"Pada akhir tahun lalu tanaman kelapa sawit juga turut mengalami kerugian disebabkan masalah yang sama.

"Pelbagai cara dan ikhtiar sudah dilakukan selain membuat aduan kepada pihak Perhilitan.

"Boleh dikatakan setiap malam saya mengeluarkan kos sekitar RM100 termasuk membeli mercun bola untuk menghalau gajah tetapi tidak berkesan," katanya.

Katanya, ada juga beberapa penduduk bertindak membuat unggun api dan membakar tayar tetapi hanya berkesan sementara waktu sahaja.

"Walaupun sebahagian kawasan ini sudah dipagar dengan pagar elektrik tetapi haiwan itu pandai mencari kawasan tidak berpagar untuk masuk ke sini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Sudin Mahmud, 64, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM5000 apabila tanaman kelapa matag dimusnahkan kumpulan gajah itu.

"Selalunya gajah akan masuk ke kawasan ini sekitar waktu Maghrib dan Subuh. Penduduk kampung tidak berani berada di kawasan diceroboh gajah pada waktu itu walaupun sewaktu musim buah kerana bimbang keselamatan diri.

"Kami lega kerana usaha memindahkan seekor gajah liar ini akan dapat mengurangkan sementara ancaman gajah lain di kawasan ini," katanya.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Yahya Mat Zain berkata, penduduk terpaksa berdepan ancaman gajah liar sejak 15 tahun lalu dan pelbagai jenis tanaman musnah disebabkan gangguan itu.

Dalam pada itu, dua ekor gajah denak betina, Abot dan Rambai, sudah terbabit lebih daripada 50 kali operasi memindahkan gajah liar sejak 2011 di seluruh semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 5:56 PM