Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


POLIS percaya tujuh lelaki yang merompak stor penyimpanan barang kes Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kampung Jijan, Nilai pada Ahad lalu tiada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, penjenayah terbabit mengetahui lokasi dadah disimpan iaitu dalam sebuah kontena yang berada dalam kawasan stor kastam.

Katanya, rompakan itu berkemungkinan dirancang dengan bantuan ‘orang dalam’ untuk melarikan 60 kotak, yang sebahagiannya mengandungi inai berserta dadah.

“Walaupun terdapat 10 kontena di hadapan pejabat Cawangan Narkotik JKDM, namun hanya sebuah kontena dipecahkan manakala selebihnya tidak. Mereka seperti tahu di mana dadah disimpan," katanya.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara luar didalangi sindiket pengedaran dadah dan pihaknya sedang menyiasat lanjut berhubung perkara terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkawan. Polis percaya rompakan dilakukan kumpulan perompak bukan sindiket pengedaran dadah,” katanya.

Katanya, semua dadah itu hasil rampasan JKDM pada 7 Jun lalu selepas pemeriksaan ke atas dua kontena dari Pakistan tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

Pemeriksaan itu mendapati dua kontena terbabit membawa 650 kotak inai yang di dalamnya mengandungi heroin serta ketamin.

Lima individu termasuk dua pegawai kastam ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes kehilangan dadah yang dianggarkan bernilai RM30.4 juta itu.

Semalam, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy dipetik berkata, dua pegawai kastam terbabit ditahan bersama dua pengawal keselamatan yang bertugas ketika kejadian dan seorang orang awam.

Mereka ditahan polis susulan laporan yang dibuat JKDM selepas kejadian kira-kira jam 3 pagi.

Berita berkaitan

Dua pegawai kastam antara lima ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 3:28 PM
NOOR Azam (tengah) menunjukkan kotak inai yang berisi dadah jenis ketamin yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman