IBU terbabit dibawa keluar dari mahkamah.
Avila Geraldine
avila@nstp.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan denda RM100,000 terhadap seorang ibu selepas wanita itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan mendera dua anaknya.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 32 tahun.

Mengikut pertuduhan, wanita tidak bekerja di Kota Belud itu dituduh mendera anak perempuannya berumur 11 tahun antara 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini,

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendera anak lelakinya berumur sembilan tahun, pada jam 12 tengah hari, 31 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Kota Belud.

Bagi setiap pertuduhan, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ainul menetapkan hukuman penjara dan denda RM50,000 bagi setiap kesalahan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap.

Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Kota Belud datang ke rumah tertuduh untuk mengambil kedua-dua anaknya pada jam 12 tengah hari, 31 Julai lalu selepas kanak-kanak terbabit dipercayai dibiarkan.

Ketika itu, anak lelaki tertuduh berumur sembilan tahun didapati dalam keadaan bogel dengan kakinya dirantai, manakala tertuduh bersama bapa tiri kanak-kanak terbabit juga didapati ada di rumah.

Siasatan mendedahkan beberapa saksi nampak wanita berkenaan memukul anaknya sama ada menggunakan tangan atau objek.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 2:30 PM