Iskandar Shah Mohamed; Dawn Chan; Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Seri Nor Nadiah Koris
cnews@nstp.com.my


KAPAL mewah 'The Equanimity' yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1MDB kelihatan tiba di kawasan Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang, 12.35 tengah hari ini.

Kapal itu dijangka berlabuh di jeti berkenaan pada bila-bila masa.

Tinjauan NSTP mendapati tiga kapal milik Pasukan Polis Marin (PPM) turut mengiringi kapal terbabit.

Kapal mewah yang berharga RM1 bilion milik ahli perniagaan Low Teak Jho atau Jho Low dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Februari lalu, kapal berkenaan dirampas dan disita pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, bagi membantu siasatan berhubung skandal penyelewengan oleh 1MDB.

Bagaimanapun, pada April lalu Mahkamah Indonesia memutuskan tindakan menyita kapal berkenaan adalah salah dan harus diserahkan pada pemilik asalnya Jho Low, namun kapal itu sekali lagi disita pada awal Julai lalu atas permintaan secara rasmi dari Kerajaan Amerika Syarikat.

Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Khas dan Ekonomi Polis Republik Indonesia, Daniel Silitonga berkata, kapal berkenaan akan diserahkan kepada Malaysia di kawasan perairan antarabangsa Indonesia dan Malaysia, namun tarikhnya masih belum dipastikan.

Reuters, sebelum ini melaporkan bahawa keputusan untuk memulangkan kapal itu susulan permohonan secara peribadi dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad .

Bagaimanapun, usaha Reuters untuk mendapatkan komen Dr Mahathir tidak berhasil.

Dr Mahathir sebelum ini mengunjungi Indonesia padaJun, lawatan rasmi pertamanya selepas menewaskan Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya umum lalu.

1MDB, adalah tumpuan kepada siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Sejumlah kira-kira AS$4.5 bilion didakwa diselewengkan oleh pegawai kanan tinggi dana berkenaan, demikian menurut saman sivil DOJ.

Najib sudah berulang kali menafikan salah laku. Jho Low pula dilihat sebagai individu utama dalam kes itu.

Berdasarkan saman sivil itu, Jho Low menggunakan wang yang diseleweng dari IMDB untuk memperoleh Equanimity, kapal sepanjang 91 meter (m) yang berdaftar di Cayman Islands.

Dalaman kapal itu dikatakan dihiasi dengan daun emas dan mamar, spa, dan sauna, kolam renang 20 m di dek, panggung wayang, lif dan helipad.

Lokasi Jho Low sehinga sekarang tidak dapat dikenal pasti dan pihak berkuasa Malaysia sudah membatalkan pasport ahli perniagaan itu.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Kapal Jho Low tiba tengah hari

[UPDATE] Equanimity masuk Selat Melaka

The Equanimity mungkin dijual...

Belayar 'pulang' ke Pelabuhan Klang [METROTV]

The Equanimity diserahkan kepada Malaysia?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 12:44 PM