BERNAMA

KEMENTERIAN Kewangan merancang untuk menjual kapal layar mewah ‘The Equanimity’ yang dilaporkan akan tiba di negara ini, esok.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, kementerian itu berhasrat menjual kapal layar mewah terbabit pada harga tertinggi agar Malaysia beroleh kembali kira-kira US$250 juta (RM1 bilion) - harga yang dilaporkan bagi kapal berkenaan.

“Kapal itu akan berada di bawah jagaan kerajaan Malaysia. Tugas kementerian ialah mendapatkan nilai terbaik bagi kapal terbabit.

“Jika kita biarkan begitu sahaja, setiap hari kita perlu bayar kos penyelenggaraan dan aset itu juga akan merosot dan mengalami susut nilai,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata, Peguam Negara Tommy Thomas akan menyediakan dokumen berkaitan agar kawalan sewajarnya dapat dikenakan ke atas kapal layar itu.

Menurutnya, kapal layar mewah berkenaan akan dipamerkan kepada umum sebelum dijual.

“Kita harap orang ramai dapat melihatnya. Mungkin tidak keseluruhan kapal tetapi setidak-tidaknya sebahagian,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan kerajaan negara itu atas bantuan mereka dalam menyerahkan ‘The Equanimity’ yang dirampas oleh pihak berkuasa republik terbabit kepada Malaysia.

Kapal layar itu dilaporkan dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Kapal itu disita di Bali pada Februari lalu, namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan kapal berkenaan tidak harus dirampas dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai lalu.

Kerajaan Indonesia dilaporkan bersetuju menyerahkan kapal berkenaan kepada Malaysia. Kapal itu kini dipercayai dalam pelayaran ke negara ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Belayar 'pulang' ke Pelabuhan Klang [METROTV]

The Equanimity diserahkan kepada Malaysia?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:45 PM