Syalikha Sazili
cnews@nstp.com.my

RANG Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 akan diperincikan, namun tadbir urus mahkamah syariah perlu diperkasa terlebih dulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, ketidaksesuaian akan berlaku jika isu RUU 355 hanya dibincang tanpa prasarana yang boleh menampung peningkatan hukuman drastik.

“RUU 355 berada di bawah mahkamah syariah yang berhasrat meningkatkan hukuman tetapi kami mahu meletakkan beberapa perkara lebih besar seperti isu mahkamah syariah.

“Isu mahkamah syariah merangkumi tiga perkara iaitu pengharmonian antara undang-undang syariah dan sivil, kecekapan hakim dan pendakwah syariah serta aspek tadbir urus mahkamah syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) dalam celahannya ingin tahu sama ada RUU 355 akan diteruskan dan hala tujunya.

Mujahid berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu pada masa akan datang.

“RUU 355 ini perlu dikendalikan dengan lebih teratur, sebab itu diadakan jawatankuasa road map diwujudkan oleh Kerajaan Pusat dan Kelantan.

“Landasan itu menunjukkan bagaimana kita akan menangani isu ini, tetapi tiba-tiba muncul rang undang-undang persendirian yang lari dari road map dibincangkan.

“Waktu itu kami rasa kalau serius nak laksanakan maka diserahkan kepada kerajaan supaya dibuat secara tertib,” katanya.

Pada 6 April tahun lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Ahli Parlimen Marang, membentangkan RUU 355.

Ia bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:10 PM